14 Mei (Bernama) -- Malaysia sekali lagi bertuah kerana menjadi satu-satunya negara anggota ASEAN menyambut ketibaan pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya, di sini hari ini.
Pesawat kargo buatan Ukraine itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India untuk mengisi minyak.
KLIA merupakan hentian terakhir bagi pesawat itu mengisi minyak selepas ia berhenti di Prague, Turkmenbashi (Turkmenistan) dand Hyderabad selepas berlepas dari 'kampung halamannya' di Kiev.
Pesawat gergasi itu terbang merentasi benua Eropah, Asia dan Oseania, dalam perjalanan bagi melaksanakan misi khas memandangkan ia membawa generator seberat 130 tan untuk dihantar ke Perth, Australia, esok.
Ketua juruterbang Antonov Dmytrov memberitahu Bernama, pada ketika ini, ia merupakan pesawat terpanjang dan paling berat di dunia iaitu 84 meter panjang dan setinggi 18 meter, yang disifatkannya sama dengan bangunan lima tingkat, dilengkapi 32 tayar dan sayap sepanjang 88 meter.
Apa yang lebih istimewa, Antonov yang berpengalaman 14 tahun menerbangkan pesawat gergasi itu berkata pesawat itu mempunyai enam enjin dan boleh berlepas dengan membawa muatan maksimum 640 tan.
"Pesawat itu lebih besar daripada Airbus A380...tiada pesawat lain seperti ini di dunia.
"Pesawat itu dibangunkan pada 1980 untuk program angkasa lepas Soviet Union bagi membawa pesawat angkasa lepas di belakangnya," katanya.
Eksekutif Kanan Operasi kawasan lapangan terbang Malaysia Airports Berhad M. Kathi berkata ini kali kedua pesawat itu mendarat di KLIA selepas kemunculan buat pertama kali di sini pada 2007.
"Pada 2007, pesawat itu mendarat di KLIA dan membawa lima helikopter untuk Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).
"Pesawat itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi namun malangnya apron lapangan terbang di sana tidak dapat menampung panjang sayap pesawat itu," katanya.
Sementara itu, Norizam Ismail, eksekutif pengendalian penumpang dari Hasrat Asia Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat yang bertanggungjawab membawa pesawat itu untuk mengisi minyak di sini berkata pesawat itu akan berlepas ke Perth pada 5.30 pagi esok.
"Kesemua 21 anak kapal termasuk juruterbang akan berehat di hotel berdekatan di sini," katanya.
Acara bersejarah itu menarik 150 peminat terdiri daripada kakitangan KLIA dan syarikat penerbangan lain bagi menyaksikan kehebatan pesawat itu.
Juruteknik Malaysia Airlines, Mohamad Nor Fathin Zulkifli, 24, menyifatkan acara itu merupakan satu pengalaman yang unik menyaksikan detik-detik pesawat itu mendarat di tarmak di sini.
"Ia merupakan peluang sekali seumur hidup bagi saya untuk melihat pesawat ini kerana ia hanya beroperasi di udara satu atau dua kali setahun," katanya.
Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia, Kyrylo Kalyta berpendapat ketibaan pesawat itu merupakan satu platform hebat bagi mengembangkan peluang perniagaan di negara ini.
"Saya amat berbangga atas penciptaan (pesawat) yang dibuat oleh rakyat kami memandangkan ia adalah pesawat terbesar yang pernah dibina oleh manusia.
"Saya berharap untuk dapat melihat kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan di sini menggunakan perkhidmatan pesawat ini lebih kerap dan kami akan menghulurkan bantuan bagi memudahkan prosedur pengiriman atau penghantaran peralatan atau aset dari sini," katanya.
No comments:
Post a Comment