Saturday, 18 June 2016

Penghadang Kayu Bergerak Sendiri Di Masjid


JASIN – Jemaah Masjid Jamek Tedong di sini gempar dengan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian aneh melibatkan dua penghadang kayu dalam masjid bergerak sendiri.

Rakaman berdurasi 1 minit 48 saat itu mula tersebar kelmarin dan menjadi viral selepas ia dimuat naik oleh Pengerusi Masjid Jamek Tedon, Datuk Akhbar Ali di laman Facebook miliknya.

Menerusi klip video tersebut, dua penghadang kayu masjid anggaran ketinggian 1.5 meter dengan kelebaran dua meter dilihat bergerak sendiri beberapa kali bermula dari belakang pintu solat wanita hingga ke bahagian tepi masjid.

Penghadang kayu yang terletak di sebelah kiri lebih banyak bergerak berbanding yang terletak di kanan. Pergerakan kedua-dua penghadang kayu yang beroda berlaku secara berasingan dan bergerak beberapa kali sebelum berhenti.

Menurut siak masjid, Zakaria Lani, kejadian itu dirakam pada pukul 2.30 pagi, 25 Mei lalu namun pihak pengurusan masjid hanya menyedari dua minggu kemudian iaitu selepas jemaah masjid secara kebetulan memainkan rakaman CCTV tersebut.